Tuesday, October 6, 2009

:: Kenali Ulama : Said al-A’llamah Ja’afar bin Ismail al-Barzanji ::

Nama:

Ja’afar bin Ismail bin Zainul Abidin bin Muhammad al-Hadi bin Zainul Abidin bin Hasan bin Abdul Karim bin Muhammad bin Rasul al-Barzanji al-Musawi al-Husaini, berterusan nasab keturunannya hingga kepada Said Ismail bin Musa al-Kazim bin Ja’afar al-Sadiq bin Muhammad al-Baqir bin Ali Zainul Abidin bin al-Husain bin Ali bin Abi Talib r.a.

Beliau merupakan daripada salasilah keturunan nabi Muhammad s.a.w yang mulia.

Begitulah nasab mereka seperti yang terdapat di dalam kitab-kitab ‘al-Ansab’ (kitab yang menyenaraikan tentang rangkaian nasab keturunan).

Asal:

Al-Barzanji adalah nama yang disandarkan kepada sebuah kampung yang dikenali sebagai al-Barzanjah, yang terletak di kampung Shahrazour, salah sebuah tempat dari negeri al-Kurdi. Di mana kawasan ini telah didirikan oleh datuknya Said Isa bin Ali bin Yusuf al-Musawi, seperti yang disebut di dalam kitab ‘al-Kaukib al-Anwar’.

Seperti yang dimaklum, al-Barzanjah kini terletak di kawasan negara Iraq.

Kelahiran:

Said Ja’afar dilahirkan di kampung ini pada tahun 1250 H bersamaan 1834 M, selepas ayahnya bermusafir dari kota Madinah al-Munawwarah dan terus menetap di kawasan tersebut lebih dari 40 tahun. Dalam tempoh menetap di kota tersebut, beliau kembali semula ke Madinah pada tahun 1271 H bersamaan 1854 M dan terus dilantik menjadi mufti berteraskan mazhab imam Syafie. Jawatan tersebut sempat dipertanggungjawabkan oleh ayahnya. Dan sebelum kewafatan ayahnya, beliau menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada anaknya, Said Ja’afar al-Barzanji.

Pendidikan:

Sepanjang hidupnya, beliau dididik dan banyak mempelajari ilmu agama daripada ayahnya sendiri. Di samping itu juga, beliau melanjutkan pengajiannya di Jami’e al-Azhar, Mesir. Setelah tamat mengaji di al-Azhar, beliau pulang ke Madinah semula. Di Madinah, beliau mengambil kesempatan untuk mempelajari ilmu daripada beberapa orang masyaikh yang hebat dan diakui ketelusan mereka seperti Syeikh Muhammad al-Gharib, Syaikh Abdul Kadir an-Nablusi dan Syeikh Isa al-Balqini.

Dalam pada yang sama, Said Ja’afar al-Barzanji juga seorang yang mahir di dalam menutur bahasa arab, Farsi, Turki dan Kurdi.


Perlantikan:

Antara perlantikan beliau adalah;

1. Dilantik menjadi mufti as-Syafiyyah pada tahun 1277 H atau 1278 H (1860 atau 1861 M).

2. Dilantik menjadi qadi San’a, Yaman selama 5 tahun dan berakhir pada tahun 1302 H bersamaan 1884 M.

3. Dilantik menjadi qadi di negeri Siwas, Turki dari tahun 1307 H hingga 1309 H bersamaan 1889 M hingga 1891 M.

4. Setelah itu, beliau pulang ke Madinah dan dilantik sebagai mufti dan tenaga pengajar di sana hingga pada tahun 1317 H bersamaan 1899 M.


Antara karangan beliau:

1. شرح الكوكب الأنور على عقد الجوهر في مولد النبي الأزهر (Beliau mensyarahkan kitab al-Kaukib al-Anwar). Sebagai tambahan, beliau bukanlah pengarang kepada kitab Maulid Barzanji ini, tetapi beliau hanya mensyarahkan sahaja. Pengarang asal ialah Said Ja’afar bin Hassan bin Abdul Karim al-Barzanji, susur jalur daripada keturunan datuk beliau).

2. نزهة الناظرين في تاريخ مسجد سيد الأولين والآخرين (Kitab ini telah dicatat oleh A’mmar as-Sultan Abdul Majid bin Mahmud al-Uthmani).

3. الروض الأعطر في مناقب السيد جعفر

4. تاج الإبتهاج على النور الوهاج في الإسراء والمعراج شرح لقصة الأسراء (Beliau mensyarahkan kitab yang ditulis oleh datuknya Said Zainul Abidin bin Muhammad al-Mahdi al-Barzanji).

5. الشجرة الأترجية في سلالة السادة البرزنجية

مصابيح الغرر على جالية الكدر وهو شرح المنظومة المشهورة في أسماء أهل بدر.6.


7. شواهد الغفران على جالي الأحزان في فضائل رمضان (Karangan oleh datuknya al-Imam al-A’llamah Said Muhammad bin Rasul al-Barzanji).


Wafat:


Beliau wafat dalam umur 67 tahun di kota Madinah al-Munawwarah pada tahun 1317 H bersamaan 1899 M. Semoga Allah s.w.t. mencucuri rahmat ke atas ruh baginda nabi Muhammad s.a.w dan ke atas ahli keluarganya dengan aroma semerbak selawat dan salam. ~ Amin ~

Wallahu A’lam.



Rujukan:

1. A’lam Min Ardi an-Nubuwwah, Anis Kutbi.

2. Al-A’lam Li Khairi Ad-Din, Az-Zirakli.

3. Hilyat al-Basyar Fi Tarikh al-Qarn al-Thalith A’syr, Abdul Razak al-Bitar.

4. Al-Kaukib al-Anwar, Said Ja’afar al-Barzanji.

5. Tarajim Lis Sadah al-Barzanjiah Mulhaqah Bi Risalah Asna al-Matalib, Said Ahmad Zaini Dahlan.



Gambar 1: Said Al-A'llamah Ja'afar bin Ismail bin Zainal Abidin al-Husaini al-Barzanji as-Syafie al-Madani bersama catatannya نزهة الناظرين في تاريخ مسجد سيد الأولين والآخرين.



Gambar 2: Said Al-A'llamah Ja'afar bin Ismail bin Zainal Abidin al-Husaini al-Barzanji as-Syafie al-Madani berdoa dalam satu majlis yang berlangsung di Madinah al-Munawwarah bersama orang ramai.



Gambar 3: Said Al-A'llamah Ja'afar bin Ismail bin Zainal Abidin al-Husaini al-Barzanji as-Syafie al-Madani bersama catatannya ketika dilantik menjadi qadi di Yaman.

1 ulasan:

Mohd. Abd. Rashid Bin Yah al-Kubrawiy said...

Alhamdulillah, artikel begini seharusnya dibaca oleh golongan-golongan yang telah memfitnah al-Barzanji yang knonnya beliau adalah seorang yang telah membuat perkara bidaah.