Thursday, November 5, 2009

:: Dr. Asri menempelak keturunan 'Sayyid'/'Syed' - Keturunan nabi Muhammad saw ::




Mungkin dalam ceramahnya ini, beliau tidak sedar yang beliau juga sedang menghina Raja Perlis Tuanku SYED Sirajuddin SYED Putra Jamalullail, keluarga dan keturunannya. Raja yang pernah sewaktu ketika dahulu memberikan kepercayaan sepenuhnya untuk menjawat jawatan sebagai mufti di negerinya. Kalau keturunan nabi Muhammad s.a.w yang mulia pun beliau berani menghina, apatah lagi manusia biasa seperti ulama dan orang awam yang lain. Mungkin terlalu kurang nilai untuk berhadapan dengannya. Semoga Allah s.w.t memberkati keluarga nabi Muhammad s.a.w dan keturunannya khusus mereka yang mendiami di bumi Malaysia. Itulah rahmat untuk penduduk Malaysia kerana kehadiran mereka.

Wallahu A'lam.

:: Sanggahan terhadap: "Tauliah, isu lapuk diwarisi penjajah oleh Mufti Perlis" ::

Mukaddimah

Untuk entri kali ini, merujuk kepada arkib laman web online Utusan Malaysia pada 03/11/2009, mufti Perlis Dr. Juanda Jaya berpendapat bahawa pemberian tauliah untuk mengajar agama adalah isu lapuk yang diwarisi sejak zaman penjajah. Perkara ini bertentangan dengan peruntukan Enakmen Jenayah Dalam Syarak Negeri Perlis 1991. Seharusnya beliau perlu merujuk terlebih dahulu enakmen yang ada sebelum mengeluarkan pandangan yang membelakangi undang-undang yang telah disepakati oleh majlis raja-raja. Perkara ini bukanlah perkara baru, tetapi enakmen ini telah ditetapkan sebelum kehadiran Dr. Asri sebagai mufti Perlis pada 1 November 2006 (secara pinjaman).

Sila layari: http://ms.wikipedia.org/wiki/Mohd_Asri_Zainul_Abidin

Begitu juga, enakmen ini diputuskan sewaktu beliau (Dr. Asri) masih lagi belajar di Jordan. Sila lihat tarikh yang tercatat di sijilnya, (22/1/1995).

Sila layari: http://2.bp.blogspot.com/_8bofOCqZIMc/SvG_tcD9KkI/AAAAAAAABMU/cC2exJaZ7HY/s1600-h/sijil_drmaza+1.jpg

atau

http://al-hanief.blogspot.com/2009/11/sijil-dr-asri-abdul-talibtulen-atau.html


Penjelasan

Keterangan Dr. Juanda Jaya seperti yang terkandung di dalam arkib online akhbar Utusan Malaysia;

DALAM NEGERI

ARKIB : 03/11/2009


Tauliah isu lapuk diwarisi penjajah - Mufti Perlis

KUALA LUMPUR 2 Nov. - Isu tauliah mengajar agama adalah isu lapuk yang diwarisi sejak zaman penjajah, kata Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya.

Menurutnya, ia peraturan yang bersifat dua mata yang boleh 'membunuh tuannya' jika disalahgunakan malah lebih parah jika digunakan pihak tertentu yang berselindung di sebalik kedudukan sebagai penemuduga atau penyemak kelayakan sebelum diberi tauliah.

Tambah beliau, mereka yang menapis pemberian tauliah perlu telus dari segi prosedur kerana mereka bertindak bagi pihak jabatan agama dan Ketua Agama Negeri berkenaan.

"Adakah benar wujud standard dalam proses pemberian tauliah sehingga mereka yang berkelulusan agama dari institusi tinggi Islam yang diiktiraf perlu ditapis dan diselidik?

"Adakah logik mereka yang lebih rendah kemahirannya menilai kelayakan orang yang lebih tinggi kemahirannya?" soalnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) semalam bertindak menahan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin ketika sedang menyampaikan ceramah di sebuah kediaman di sini dengan alasan Mohd. Asri menyampaikan kuliah tanpa tauliah.

Juanda berkata, pihak berkuasa tertinggi negara, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengkaji semula pengurusan dan peranan agensi pelaksana urusan agama bagi pihak pemerintah dan Raja-Raja Melayu.

"Ia bagi memastikan pengamalan Islam di negara ini menepati kehendak al-Quran dan Hadis," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berasa kecewa dan melihat penahanan Mohd. Asri sebagai bersifat dendam peribadi pihak tertentu yang mahu mengaibkan pihak lain melalui permainan salah guna kuasa.

Jelasnya, usaha menyebarkan Islam dan memberi kefahaman Islam yang sahih menurut sumber asal daripada al-Quran dan al-Sunnah hendaklah disokong agar umat Islam terus maju dan keluar daripada kepompong 'taqlid' yang memudarkan Islam.

"Pihak berkuasa agama sewajarnya mengambil pendekatan nasihat dan dialog secara bersemuka dengan pihak yang tidak disenangi, bukannya menjadikan penggunaan kuasa sebagai cara yang pertama dan utama.

"Saya mencadangkan agar isu khilaf dibincang secara dialog terbuka di hadapan pihak berkuasa agama dan Ketua Agama Negeri agar wujud sikap saling menghormati antara satu sama lain supaya dapat dicari mana satu pandangan sahih dan sebaliknya," katanya.


Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1103&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_15.htm&arc=hive


Keterangan ini bercanggah dengan Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah Negeri Perlis seperti di bawah;

"KESALAHAN-KESALAHAN DI BAWAH ENAKMEN JENAYAH DALAM SYARAK 1991 NEGERI (Perlis)":-

Bilangan: 29 Seksyen: 33- Kesalahan: MENGAJAR AGAMA TANPA KEBENARAN:- Hukuman: Denda RM1,000 @ Penjara 6 bulan @ kedua-duanya

Bil: 30 Seksyen: 34*- MENGAJAR @ MENJALANKAN SESUATU ISTIADAT YANG BERTENTANGAN DENGAN HUKUM SYARAK YANG DIAMALKAN DI NEGERI PERLIS Hukuman: Denda RM5,000 @ Penjara 3 tahun @ kedua-duanya

* Boleh tangkap tanpa waran


Sumber: http://islam.perlis.gov.my/index_files/penguatkuasa.htm


Semoga Allah swt membantu yang HAK dan mengikis KEBATILAN.


Wallahu A'lam.

Wednesday, November 4, 2009

:: Takdib untuk bekas Mufti Perlis oleh JAKIM ::

Jakim pertahan tindakan terhadap Raja Petra

PUTRAJAYA 7 Sept. - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempertahankan tindakannya membuat laporan polis terhadap Raja Petra Kamaruddin berhubung artikelnya dalam blog Malaysia Today yang didakwa menghina Islam dan Rasulullah.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd. Aziz berkata, laporan polis terhadap penulis blog itu amat perlu untuk membendung kegelisahan di kalangan orang Islam yang berasa tersinggung apabila kesucian agama mereka dihina.

Beliau berkata, dengan laporan polis itu, tidak bermakna Jakim tidak boleh berdialog dengan penulis blog itu bagi memperbetulkan akidah dan fahamannya.

"Kami mengambil langkah pentadbiran sesuai dengan kedudukan Jakim sebagai sebuah agensi Pusat untuk mencegah dan membendung kegelisahan di kalangan rakyat terutama orang Islam.

"Jadi saya menolak andaian sesetengah pihak kononnya langkah yang diambil oleh Jakim ini sebagai tidak tepat sebaliknya perlu berdialog dengan penulis blog tersebut,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas laporan Mingguan Malaysia hari ini yang memetik Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin sebagai berkata, tindakan empat agensi Islam termasuk Jakim membuat laporan polis terhadap Raja Petra adalah tidak tepat.

Mohd. Asri sebaliknya menegaskan, Jakim sepatutnya mengadakan sesi dialog dengan Raja Petra bagi memperbetulkan akidah dan fahamannya terhadap Islam sebagai langkah pertama bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Dalam hubungan ini, Wan Mohamad berkata, Jakim bersedia pada masa bila-bila masa untuk mengadakan sesi dialog dengan mana-mana pihak dan selama ini pihaknya memang sering mengadakan dialog seumpama itu.

Justeru, tegas beliau, Asri seharusnya merujuk terlebih dahulu kepada pihaknya berkaitan perkara tersebut dan tidak menyindir rakan-rakan sejawatan secara terbuka kerana ia satu langkah tidak beretika.

Beliau yang secara terbuka menegur mufti muda itu berkata, forum terbaik bagi Asri untuk menyampaikan kritikan adalah melalui Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan yang dianggotai mufti-mufti yang jauh lebih berpengalaman.


"Masalahnya beliau kerap tidak hadir dalam muzakarah tetapi beliau lebih senang menghadiri program yang lebih beliau sukai dan berorientasikan hizbiah (kepartian).

"Jadi sudah tiba masanya mufti tersebut ditakdib (diperadabkan), bimbang nanti dia terbelenggu dengan sifat ujub, rasa pandangannya hebat sehingga ada kecenderungan merendah-rendahkan orang lain,''
katanya.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0908&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_14.htm

Tuesday, November 3, 2009

:: Nakhaie: Siapa Dr Asri hendak campur tangan soal audit YADIM? ::

BERITA

Selasa November 3, 2009

Oleh AU YEONG HOW

KUALA LUMPUR:Datuk Mohd Nakhaie Ahmad yang bersara dari jawatan Yang DiPertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)kelmarin (1 November), menyangkal segala dakwaan yang dilemparkan oleh bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin.

Antara dakwaan tersebut ialah kononnya Nakhaie memperalatkan YADIM untuk memungut harta, makan rasuah dan mengeluarkan kenyataan yang Dr Asri tidak diterima UMNO mahupun PAS.

Nakhaie juga turut dituduh menyalahgunakan jawatannya sebagai Yang DiPertua YADIM untuk melancong ke luar negara.

Ekoran itu, Nakhaie mendakwa, dua laporan telah dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Dan hasil siasatan SPRM setakat ini membuktikan Nakhaie bersih daripada tuduhan itu.

Nakhaie juga mendakwa Dr Asri telah memberikan bayangan seolah-olah beliau memperalatkan YADIM untuk meraih kekayaan.

Malah dakwanya, Dr Asri juga telah meminta Audit Negara menyiasat YADIM untuk memastikan sama ada terdapat penyelewengan wang.

"Bagi saya, Dr Asri tak perlu bagi arahan kepada Audit Negara (AN) kerana AN memang telah dan dipertanggungjawabkan untuk menyiasat perbelanjaan YADIM.

"Jangan campur tangan. Siapa beliau nak mengeluarkan arahan ini?" katanya pada sidang akhbar di kediamannya yang berhampiran dengan Markas PAS, Taman Melewar, Gombak semalam.

Nakhaie mendakwa YADIM telah diaudit pada awal tahun ini.

Isu 'YADIM perlu diaudit segera' menjadi panas apabila perkara ini dibangkitkan pada hari Sabtu lepas oleh Dr Asri pada sidang akhbar 'Memorandum Fitnah Peguam Syarie Malaysia (PGSM) kepada Yang di-Pertuan Agong'.

Memorandum itu, antara lain, membantah ura-ura pelantikan Dr Asri sebagai Yang DiPertua YADIM.

Menurut Nakhaie, Dr Asri adalah nama yang disebut-sebut untuk menggantikan tempat beliau untuk jawatan Yang DiPertua YADIM.

Mohd Nakhaie juga menafikan sekeras-kerasnya bahawa beliau terlibat dalam sebarang penghantaran memorandum untuk membantah pelantikan Dr Asri sebagai Yang DiPertua YADIM.

Ditanya mengenai punca-punca dia mengesyaki dirinya menjadi sasaran fitnah itu, jelas Mohd Nakhaie: "Sebab dia menyebut individu terbabit dari segi umur, perkaitannya dengan YADIM dan tiada kaitan dengan agensi-agensi lain. Maka, jelas dia tujukan tuduhan itu kepada saya.

"Permintaannya terhadap Audit Negara agar siasat YADIM dan bukan agensi lain. Ini bermakna tuduhan penyelewengan itu ditujukan kepada saya," jelas Mohd Nakhaie.

Sehubungan itu, Mohd Nakhaie mencabar Dr Asri agar menamakannya sebagai orang yang makan rasuah.

"Terus-terang saja, sebut nama saya makan rasuah. Kalau tidak, dia jadi pembohong...dia tak mahu orang bohong, tapi dia bohong,"
katanya.

Mohd Nakhaie kesal hal-hal sedemikian dipaparkan dalam suratkhabar dan ini mempamerkan konflik antara orang-orang agama sekali gus menjadi satu paparan tidak baik kepada masyarakat.

Mengenai dakwaan bahawa beliau berkata Dr Asri tidak ditolak Umno dan Pas, Mohd Nakhaie mempersoalkan bila beliau berbuat demikian kerana tiada sebab atau ruang untuknya berbuat demikian.

Ketika menjawab isu penahanan Dr Asri yang didakwa kerana sabotaj JAIS, Nakhaie berkata, "Walaupun dia bekas Mufti tapi dia perlu ada tauliah untuk memberikan ceramah agama.

"Di Perlis mungkin dia tak perlu ada tauliah tapi di Selangor, ianya perlu," kata Nakhaie.

Nakahie juga memberitahu yang dia telah menjadi Yang DiPertua YADIM selama 4 penggal sejak 10 tahun lalu. Kalau ikut kontrak, dia sepatutnya bersara pada April 2012.

"Sebab apa saya tak pasti kenapa kontrak saya dipendekkan. Mungkin kerana saya dah tua," jelas Nakhaie yang berusia 67 tahun.

Sumber: http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/11/3/mstar_berita/20091102172926&sec=mstar_berita

:: MEMORANDUM BANTAHAN TERHADAP PELANTIKAN DR. MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN SEBAGAI YDP YADIM ::

Memorandum Kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin ibni AlMarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj

Bertarikh 12 Oktober 2009.

Diserahkan oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Memorandum bagi pihak majoriti umat Islam Malaysia ini dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin ibni AlMarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj supaya menarik balik pelantikan Dr Mohd Asri Zainal Abidin (Dr Asri) sebagai Yang Di Pertua YADIM.

Alasan Memorandum ini ialah antara lainnya :-

1. NGO-NGO Islam arus perdana yang terlibat dengan Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) kelolaan YADIM sentiasa bekerjasama di dalam menegakkan dakwah Islamiyah di Malaysia. Hanya beberapa NGO kecil sahaja yang dapat menerima idea bahtera perubahan yang cuba dibawa oleh Dr Asri yang seringkali tidak seiring pandangannya dengan sebahagian besar ulamak dan NGO-NGO Islam arus perdana. Kerajaan sepatutnya menghormati kerjasama MAIM di bawah naungan YADIM yang telah dirasmikan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong. Pelantikan Dr. Asri hanya akan memutuskan tali silaturrahim yang terjalin dan MAIM akan pincang sekiranya Dr Asri menerajui YADIM.

2. Dr Asri yang terpengaruh dengan pandangan dan pendekatan ulamak tertentu juga seringkalibertentangan pandangan dengan para ulamak dan Mufti-Mufti negeri lain. Dalam berhadapan dengan perbezaan pendapat ini, Dr Asri telah mengambil pendekatan berkonfrantasi secara terbuka tanpa menitik beratkan soal adab dan kemaslahatan umat Islam keseluruhannya. Semasa menjawat jawatan Mufti Kerajaan Negeri Perlis beliau kerapkali membelakangkan pandangan Jawatankuasa Mufti peringkat Kebangsaan dan sentiasa lari dari berdialog secara tertutup dan beradab, sebaliknya mencari populariti di media. Keadaan ini akan menyukarkan YADIM dan MAIM untuk bergerak sekiranya tiada hubungan erat dengan Mufti-Mufti.

3. Dr Asri mendakwa dirinya dan pengikut-pengikutnya sebagai ahlu-sunnah tetapi mereka menolak dan tidak mengiktiraf kebanyakan ulamak dan umat Islam lain yang di luar dari lingkungan pengikutnya. Beliau juga tidak mengkitiraf iktikad ahli sunnah wal jamaah dari mazhab-mazhab fiqh seperti Mazhab Shafie, Hanafi, Maliki dan Hanbali bahkan dalam keadaan tertentu menolak hadith yang diriwayat oleh Imam Bukhari.

4. Pendekatan Dr Asri dan para pengikutnya telah mencetuskan berbagai perbalahan di kalangan umat Islam apabila mengkritik berbagai amalan umat Islam di Malaysia kononnya ia tidak mengikut sunnah seperti amalan membaca Yaa Sin pada malam Juma’at, amalan bertalqin, tahlil, doa selamat, seolat hajat, wirid selepas solat. Beliau juga mencerca para ulamak besar seperti Imam Nawawi dan Imam Ghazali yang tidak perlu disebut kehebatan dan keilmuan mereka. Bahkan akibat dan malapetaka yang bakal timbul dari pendekatannya ini amatlah besar sebagaimana yang sedang berlaku di beberapa buah negara Islam. Malapetaka ini sewajarnya dibendung dan bukan disemarakkan lagi.

5. Akibat dari pendekatan ekstrem Dr.Asri dan pengikutnya ini kebanyakan Majlis Agama IslamNegeri-negeri telah menyekat kegiatan pengajian yang dijalankan oleh mereka. Malah beberapa guru agama dan penceramah yang sealiran dengan mereka sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah Syariah kerana mengajar tanpa tauliah. Antaranya Dr. Abdullah Yasin yang menghadapi beberapa kes di negeri Selangor.

6. Dr Asri hingga kini mempertikaikan undang-undang jenayah Syariah negara serta mentafsirkannya tidak mengikut peruntukan undang-undang dan hukum syarak yang diterima para Ulamak dan masyarakat Islam. Dengan melantik seorang yang berpandangan dan pendekatan seperti ini, ia akan melenyapkan keyakinan dan kepercayaan umat Islam bukan sahaja kepada YADIM malah kepada kerajaan keseluruhannya atas kegagalan memelihara ajaran dan amalan Islam yang dipegang selama ini.

7. Pendekatan ekstrem Dr.Asri telah mengundang pelbagai akibat dan keresahan di kalangan umatIslam di seluruh Negara khususnya di negeri Perlis. Imam-imam di Perlis yang tidak mendokong aliran Dr Asri telah diketepikan malah baru-baru ini mereka telah ditukarkan atas alasan yang sama (beritaberita sebegini telah tersiar di dalam akhbar-akhbar utama negara). Cercaan beliau dan pengikutnya kepada amalan solat hajat kononnya ia satu bentuk maksiat dalam masjid telah mengundang perbalahandan beberapa kejadian pergaduhan.

8. Sebagai seorang yang terlalu muda serta gagal menghayati budaya adab sopan umat Islam dimalaysia, Dr Asri lebih banyak mengundang kontroversi dan merupakan seorang yang keras, elstrem serta tidak dapat menerima teguran, pandangan dan kritikan orang lain. Majlis-Majlis Agama Islam Negeri-negeri lain selain Perlis, Tokoh-tokoh agama arus perdana termasuk semua para Mufti Negerinegeri (kecuali Perlis) serta tokoh-tokoh seperti Prof.Datuk Dr.Ismail Ibrahim, Tan Sri Syeikh Ghazali Abd Rahman bekas Ketua Pengarah JKSM, Dato’ Hashim b.Yahya bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Nooh Gadot dan ramai lagi amat tidak senang dengan pendekatan dan pendirian sebegini.

9. Penolakkan oleh sebahagian besar tokoh agama dan umat Islam terhadap pemikiran danpendekatan beliau dalam amalan agama adalah kelemahan besar Dr.Asri dan amat tidak sesuai untuk menerajui sebuah agensi dakwah yang ditunjangi oleh Kerajaan Malaysia. Peribadi yang lebih berhemah dan memahami manhaj dan metodologi dakwah di Malaysia adalah lebih wajar menerajui YADIM. Terdapat ramai lagi tokoh lain yang tidak kontroversi yang datang dari golongan Muslim arus perdana yang boleh dilantik menerajui YADIM dan diterima oleh masyarakat Islam arus perdana.

10. Dr Asri bukan sahaja ditolak oleh majoriti penyokong UMNO, malah beliau juga tidak disenangi oleh penyokong PAS yang merupakan 2 parti umat Islam terbesar. Hanya segelintir dari masyarakat Islam yang berpendirian ekstrem dalam hal furu’ atau perkara cabang yang gembira dengan pemikiran dan pendekatan beliau. Kami bimbang Kerajaan Persekutuan akan disisihkan oleh umat Islam dalam kegiatan keagamaan dan amalan keagamaan yang seragam dan telah sebati di seluruh Negara tidak lagi menjadi arus perdana di masa akan datang, manakala Pihak Berkuasa Agama Negeri mengambil pendekatan berbeza dari Kerajaan Persekutuan.

Diserahkan oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Ditandatangani oleh:

Mohamad Isa bin Abd RalipPresiden PGSMBertarikh 12 Oktober, 2009

Badan-Badan Bukan Kerajaan Yang Menyokong Memorandum ini –

1. Persatuan Pegawai-Pegawai Syariah Malaysia

2. Yayasan Sofa Negeri Sembilan

3. Yayasan Jenderami

4. Pertubuhan Muafakat Masyarakat Sejahtera (MUAFAKAT)

5. Persatuan Peguam Syarie Malysia

6. Persatuan Peguam Muslim Malaysia

7. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

8. Persatuan Alumni Kolej Islam (ALKIS)

9. Jemaah Islah malaysia (JIM)

10. Persatuan Ulamak Malaysia

11. Yayasan Paksi Kedah

12. Persatuan Ulamak Kedah

13. Teras Pengupayaan Melayu (TERAS)


Sumber: http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/11/1/mstar_berita/20091031235819&sec=mstar_berita (akhbar mstar online)

:: Respon/Kenyataan Media PGSM-NGOs terhadap kenyataan akhbar Dr. Asri ::

Kenyataan Media

Respons NGO-NGO Islam Terhadap Sidang Akhbar Dr. Asri Berhubung Memorandum Bantahan Perlantikan Beliau Sebagai Yang Di Pertua YADIM


Ahad, 1 November 2009


____________________________________________________________________

Kami, mewakili NGO-NGO Islam yang telah dikaitkan oleh Dr.Asri dalam sidang akhbar yang diadakan olehnya semalam (31 Oktober 2009) ingin membuat penjelasan-penjelasan berikut :-



* Kami melahirkan rasa KEKESALAN kami di atas tindakan Dr. Asri memperbesar-besarkan dan mencari publisiti terhadap suatu perkara yang merupakan hak serta budibicara mutlak YDPA dan Kerajaan, yang mana menurut undang-undang, perlantikan YDP YADIM adalah kuasa YDPA dan Kerajaan.



* Kami TEGASKAN bahawa adalah suatu sikap yang MENGECEWAKAN untuk beliau memperbesar-besarkan isu ini dan mengheret masyarakat umum ke dalam persoalan ini, sedangkan ia adalah isu dalaman pentadbiran agama negara kita, yang sepatutnya diselesaikan secara perbincangan tertutup dan berhikmah. Oleh itu, kami tidak berniat dan tidak berhasrat untuk membincangkan isu ini secara terbuka.



* Kami turut merasa MUSYKIL dengan beberapa dakwaan beliau dalam sidang akhbar beliau termasuk dakwaannya yang ‘menolak’ tawaran perlantikan sebagai Yang Di Pertua YADIM sedangkan belum ada apa-apa pengumuman rasmi daripada pihak yang berkuasa dalam hal tersebut.



* Kami mengakui memang kami telah mengambil langkah tegas untuk menyampaikan bantahan kami terhadap ura-ura perlantikan beliau sebagai YDP YADIM atas sebab-sebab maslahah ummah (kepentingan seluruh umat Islam) di Malaysia.



* Dalam pengetahuan kami, di kalangan pihak berkuasa agama, tokoh-tokoh agama, pertubuhan-pertubuhan arus perdana sudah sekian lama tidak bersetuju dan tidak berpuashati dengan pendekatan Dr. Asri yang banyak menimbulkan keraguan dan polemik yang merugikan seperti dalam isu pencegahan khalwat oleh Pihak Berkuasa Agama, isu penggunaan kalimah Allah, isu amalan-amalan furu’ yang dikatakan bidaah di kalangan umat Islam dan lain-lain.



* Merujuk kepada permintaan Dr. Asri agar kami mengemukan bukti tentang kenyataan kami, kami BERSEDIA pada bila-bila masa untuk bersemuka dan berbincang dengan beliau SECARA PERIBADI, kerana kami berpendirian bahawa isu ini adalah isu dalaman dan tidak wajar dibahaskan atau disensasikan secara terbuka. Tindakan beliau ini sekali lagi menggambarkan bahawa beliau adalah seorang yang tidak berhemah, tidak berhikmah, sekaligus menggambarkan beliau tidak sesuai memegang jawatan sebagai YDP YADIM atau jawatan-jawatan yang seumpamanya.



* Tindakan kami menghantar memorandum kepada YDPA Agong adalah atas niat baik supaya kesepaduan umat Islam di Malaysia atas pegangan ahli sunnah wal jamaah TIDAK dirobek dan dimusnahkan oleh pendekatan yang tidak mengikut arus perdana. Kami tidak mahu suasana kacau bilau dalam amalan beragama berlaku di Malaysia.



Kami NGO-NGO Islam telah pun mengemukakan pandangan kami kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong dan kami menyerahkan kepada Ke Bawah Duli untuk mempertimbangkan pandangan jujur dan ikhlas kami tersebut.





Ditandatangani oleh :



……………t.t..………………….

MOHAMAD ISA BIN ABD RALIP

Presiden

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)



Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang menyokong Kenyataan Media/Respon ini :-



1. Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM)
2. Pertubuhan Muafakat Sejahtera (MUAFAKAT)
3. Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajat Islam Malaysia (PKPIM)
4. Yayasan Sofa Negeri Sembilan
5. Yayasan Jenderami
6. Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
7. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
8. Persatuan Alumni Kolej Islam (ALKIS)
9. Persatuan Ulamak Malaysia (PUM)
10. Jemaah Islah Malaysia (JIM)
11. Yayasan Paksi Kedah
12. Persatuan Ulamak Kedah
13. Teras Pengupayaan Melayu (TERAS)
14. Persatuan Ulamak Wilayah Persekutuan
15. Institut Pengajian Tradisional Islam
16. Khalifah Institut.


Sumber: http://peguamsyarie.org/?p=1249 (Persatuan Peguam Syarie Malaysia)