Monday, January 10, 2011

::Bersama Para Wali Allah::

Tajuk: “Wanita Yang Tidak Berbicara Melainkan Ayat Suci Al-Quran”٭٭

Oleh: Mohammad Taha Bin Haji Hassan

Sewaktu Abdullah bin al-Mubarak di dalam perjalanannya menuju untuk menunaikan haji, beliau bertemu seorang wanita tua yg berjauhan dari laluan orag ramai. Maka, beliau pun pergi bertemunya seraya mengucapkan: “السلام عليكم ورحمة الله”. Wanita tua itu pun menjawab: سَلاَمٌ قَولاً مِن رَّبٍّ رَّحِيمِ1. Bermaksud: “Ucapan salam sejahtera daripada tuhan mereka yang amat mengasihani”.

Lantas Abdullah berkata kepadanya: “Apa yang kamu lakukan di tanah tandus ini?” Wanita itu menjawab: مَنْ يُضْلِلِ اللهُ فَلاَ هَادِيَ لَه2. Bermaksud: “Sesiapa yang disesatkan oleh Allah (kerana keingkarannya), maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat memberi petunjuk kepadanya”.

Kemudian Abdullah bertanya kepadanya tentang ke mana arah yang ingin dituju? Wanita itu menjawab: سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِنَ اْلمَسْجِدِ اْلحَرَامِ إِلَى اْلمَسْجِدِ اْلأَقْصَا3. Bermaksud: “Maha suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin)”.

Abdullah bertanya kepadanya lagi: “Sudah berapa lama berada di sini?” Wanita itu menjawab:ثَلاَثَ لَيَالٍ سَوِيًّا4. Bermaksud: “Selama tiga malam, sedang engkau dalam keadaan sihat”.

Abdullah bertanya kepadanya lagi: “Di mana makananmu?” Beliau menjawab: وَالَّذِي هُوَ يُطْعِمُنِي وَيَسْقِينِ5.

Bermaksud: “Dan tuhan yang Dia lah jua memberiku makan dan memberi minum”.

Abdullah bertanya kepadanya lagi: “Di mana air untuk berwudhu?” Wanita itu pun menjawab: فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا6. Bermaksud: “Kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu yang suci”.

Kemudian Abdullah bin al-Mubarak pun memberikan kepadanya sedikit makanan, seraya berkata: “Makanan ini halal, makanlah..” Wanita itu pun berkata: ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى الَّيْلِ7. Bermaksud: “Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib)”.

Abdullah berkata kepadanya: “Sekarang ini bukan puasa bulan Ramadhan.” Wanita itu menjawab: وَمَن تَطَوَّعَ خَيْرًا فَإِنَّ اللهَ شَاكِرٌ عَلِيمٌ8. Bermaksud: “Dan sesiapa yang bersukarela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala, lagi Maha mengetahui”.

Lantas Abdullah berkata kepadanya: “Boleh berbuka puasa sewaktu musafir”. Wanita itu menjawab: وَأَن تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ9.

Bermaksud: “Dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui”.

Lantas Abdullah berkata kepadanya: “Bercakaplah seperti bahasa yang saya ungkapkan”. Wanita itu menjawab: مَا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ10.

Bermaksud: “Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisiNya malaikat Pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)”.

Abdullah bertanya lagi kepadanya: “Berasal daripada kabilah yang mana?” Wanita itu menjawab: وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَاْلبَصَرَ وَاْلفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْؤُولاً11.

Bermaksud: “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya”.

Kemudian, Abdullah berkata kepadanya: “Maafkan saya, sesungguhnya saya telah melakukan kesilapan.” Wanita itu berkata: لاَ تَثْرِيبَ عَلَيْكُمُ الْيَوْمَ يَغْفِرُ اللهُ لَكُمْ12.

Bermaksud: “Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu), semoga Allah mengampunkan dosa kamu”.

Abdullah bertanya kepadanya lagi: “Mahukah kamu menunggang tungganganku ini?” Wanita itu menjawab: وَمَا تَفْعَلوُنَ مِنْ خَيْرٍ يَعْلَمْهُ اللهُ13.

Bermaksud: “Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah”.

Kemudian, Abdullah pun mencelah: “Naiklah!”. Wanita itu berkata: قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ14.

Bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat (tunduk) pandangan mereka (daripada memandang yang haram)”.

Kemudian Abdullah pun mendudukkan untanya sambil menyeru: “Hayya!”.

Wanita itu berkata: سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَلَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ15. Bermaksud: “Maha suci tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya”.

Setelah Abdullah menarik tali tunggangannya, beliau pun menjerit. Wanita itu pun berkata: وَاقْصُدْ فِى مَشْيِكْ وَاغْضُضْ مِن صَوْتِكَ16. Bermaksud: “Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata)”.

Setelah Abdullah menyedari perkara itu, beliau pun berjalan dengan perlahan sambil berqasidah (sebagai semangat untuk haiwan tunggangannya).

Wanita itu berkata lagi: فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنَ اْلقُرْآنِ17. Bermaksud: “Oleh itu bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya dari al-Quran (dalam sembahyang)”.

Lantas Abdullah berkata: “Sesungguhnya kamu diberikan pahala yang banyak kerana mengingati saya”.

Wanita itu pun berkata: وَمَا يَذَّكَّرُ إِلاَّ أُولُوا اْلأَلْبَابِ18. Bermaksud: “Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya”.

Setelah itu, Abdullah bertanya kepadanya: “Wahai makcik, adakah kamu sudah berkahwin?”

Wanita itu pun menjawab: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لاَ تَسْأَلوُا عَنْ أَشْيَاءَ إِن تُبْدَلَكُمْ تَسُؤْكُمْ19.

Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu”.

Setelah mereka bertemu sekumpulan kafilah (rombongan) yang memisahkan mereka berdua, Abdullah bertanya kepadanya: “Adakah kamu memiliki anak lelaki atau kaum kerabat dalam kafilah ini?”

Wanita itu pun menjawab: اَلْمَالُ وَالْبنَوُنَ زِينَةَ الْحَيَاةِ الدٌنْيَا20. Bermaksud: “Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia”.

Setelah itu, Abdullah bertanya lagi kepadanya: “Apa pekerjaan anak-anakmu dalam kumpulan rombongan ini?”

Wanita itu pun menjawab: وَعَلاَمَاتٍ وَبِالنَّجْمِ هُمْ يَهْتَدُونَ21. Bermaksud: “Dan (ia mengadakan) tanda-tanda panduan jalan, dan dengan bintang-bintang (pada waktu malam) mereka dapat mengetahui arah yang hendak dituju”.

Setelah mendengar jawapan wanita itu, Abdullah bertanya pula tentang nama-nama anaknya.

Wanita itu pun menjawab: وَاتَّخَذَ اللهُ إِبْرَاهِيمَ خَلِيلاً﴾22 ﴿وَكَلَّمَ اللهُ مُوسَى تَكْلِيمًا﴾23
﴿يَا يَحْيىَ خُذِ اْلكِتَابَ بِقُوَّةٍ﴾24.

Bermaksud:

“Dan (kerana itulah) Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayanganNya”.

“Dan Allah telah berkata-kata kepada Nabi Musa dengan kata-kata (secara langsung, tidak ada perantaraan)”.

“Wahai Yahya, terimalah kitab itu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh!”.

Setelah wanita tua itu menyeru nama-nama anaknya yang bernama Ibrahim, Musa dan Yahya, lantas mereka pun segera datang menyahut panggilannya.

Kemudian, wanita itu berkata kepada mereka:

فَابْعَثوُا أَحَدَكُم بِوَرِقِكُمْ هَذِهِ إِلىَ اْلمَدِينَةِ فَلْينَظُرْ أَيُّهَا أَزْكَى طَعَامًا فَلْيَأْتِكُم بِرِزْقٍ مِنْهُ25.

Bermaksud: “Sekarang utuslah salah seorang daripada kamu, membawa wang perak kamu ini ke bandar; kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang dijual di situ); kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya”.

Setelah mereka datang membawa makanan, wanita itu pun berkata kepada Abdullah bin al-Mubarak: كُلوُا وَاشْرَبوُا هَنِيئاً بِمَا أَسْلفَتْمُ ْفِى اْلأَيَّامِ الْخَالِيَةِ26.

Bermaksud: “(masing-masing dipersilakan menikmatinya dengan dikatakan): “Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman sebagai nikmat yang lazat dan baik kesudahannya, dengan sebab (amal-amal soleh) yang telah kamu kerjakan pada masa yang lalu (di dunia)!”.

Setelah semuanya selesai, Abdullah bin al-Mubarak meminta penjelasan daripada anak-anak wanita itu mengenai pertuturan ibu mereka yang tidak berkata-kata melainkan dengan ungkapan ayat suci al-Quran sahaja. Mereka menjelaskan bahawa ibu mereka tidak berbicara melainkan ayat suci al-Quran sejak 40 tahun yang lalu kerana takut berlaku kesilapan dan bertujuan untuk berpegang teguh dengan kalam Allah serta cinta kepada Allah s.w.t. -Tamat-


Rujukan
______________________________

٭٭ Kisah ini saya petik dan terjemah dari kitab: “Ma’a Aulia Allah Al-Solihin – Qisas Wa Mawaqif Wa Karamat, Syeikh Muhammad Nuruddin Marbau Banjar Al-Indunisi Al-Makki, Majlis Al-Banjari Li Al-Tafaqquh Fi Al-Din, Cetakan Kedua, 1430 H – 2009 M, Halaman 7-12” – Sila rujuk.

1. Surah Yasin:58

2. Surah al-A’raf:186

3. Surah al-Isra:1

4. Surah Maryam:10

5. Surah Al-Syua’ra:79

6. Surah al-Nisa:43

7. Surah al-Baqarah:187

8. Surah al-Baqarah:158

9. Surah al-Baqarah:184

10. Surah Qaf:18

11. Surah al-Isra:36

12. Surah Yusuf:92

13. Surah al-Baqarah:197

14. Surah al-Nur:30

15. Surah al-Zukhruf:13

16. Surah Luqman:19

17. Surah al-Muzammil:20

18. Surah al-Baqarah:269

19. Surah al-Maidah:101

20. Surah al-Kahfi:46

21. Surah al-Nahl:16

22. Surah al-Nisa:125

23. Surah al-Nisa:164

24. Surah Maryam:12

25. Surah al-Kahfi:19

26. Surah al-Haaqqah:24

2 ulasan:

Akumeer said...

MasyaAllah wa Tabarakallah ya syeikh..hebat enta mengarang kisah Awlia' Allah nih..x dan nak baca habih..

SnailPhoto said...

Mintak izin copy....sy sertakn link asal..nk pass kt FB...cerita yg sgt best...macam terkejut je baca...